Ummiasyiq’s Little Heaven


Facebook dan Blog baru

Assalamu’alaikum wrt wbt

Pengunjung setia blog saya yang dirahmati Allah,

Terima kasih kepada semua kerana sehingga hari ini, sejak wujudnya blog ini lebih 2 tahun yang lalu, saya masih menerima banyak maklum balas daripada anda semua. Saya begitu menghargainya.

Namun begitu, kerana kesukaran yang sering berlaku untuk membuka wordpress ini, saya telah mewujudkan blog saya yang baru iaitu www.ashikinhashim.blogspot.com . Anda dijemput untuk melayari blog saya dan berkongsi cerita dan pengalaman bersama saya.

Kepada yang mempunyai akaun Facebook, anda juga boleh hubungi saya www.facebook.com/ashikinhashim

Semoga perkongsian yang ada dapat memberikan manfaat kepada semua.

Norashikin Hashim


Cabaran Ibu Bapa Muda Masa Kini

Berkahwin muda bukan lagi senario asing bagi kita di Malaysia. Malah seperti sudah menjadi tren masa kini, berkahwin muda adalah satu kebanggaan bagi sesetengah pihak. Saya juga tergolong di kalangan yang berkahwin muda iaitu berkahwin ketika berumur 24 tahun dan belum lagi mendapat skrol ijazah yang sah. Suami pula masih berbaki satu semester.

Kini, dalam usia menjangkau 30 tahun, saya sudah memiliki 3 orang anak. Terpalit jua rasa bangga kerana dalam usia yang masih muda, kehidupan seakan sudah hampir sempurna dengan kehadiran suami dan anak-anak yang begitu membahagiakan.

Namun, adakah benar bahawa berkahwin muda itu banyak pro dari kontranya seperti melalui satu jalan yang tiada berduri dan berliku? Sudah tentu itu adalah tanggapan yang kurang adil bagi mereka yang mendirikan rumahtangga dalam usia yang agak lewat. Bagi saya, waktu bila pun anda berkahwin, muda atau usia yang sudah lewat, cabarannya tetap ada, cuma situasi dan cara yang agak berbeza.

Persiapan Rapi

Bagi mereka yang mengambil keputusan untuk berkahwin dalam usia muda, persiapan rapi samada fizikal mahupun mental hendaklah dibuat seawal mungkin. Berkahwin muda bukanlah satu keputusan main-main, di mana kita boleh berpatah semula jika merasakan yang kita tidak mampu untuk meneruskan bahtera perkahwinan. Sekali melangkah, pastikan anda terus melangkah dan melayarinya dengan penuh tanggungjawab.

Tahun pertama perkahwinan pastinya tahun bulan madu yang sangat indah dilalui oleh setiap pasangan. Namun perlu diketahui bahawa, jika kita berkahwin, kita bukan sahaja berkahwin dengan pasangan kita, malah kita berkahwin dengan kehidupannya. Ini bermakna segala aturan hidupnya, keluarga, kenalan, kerja dan aktiviti yang dilakukan oleh pasangan kita, telah menjadi sebahagian dalam kehidupan kita juga.

Ada pasangan yang tidak dapat menerima cara hidup pasangannya kerana dikatakan tidak serasi. Tidakkah ia dikatakan tidak adil bagi pasangan anda, sedangkan anda sudah mengambil keputusan untuk melayari kehidupan ini bersama-sama? Sudah tentu ini tidak akan terjadi jika persiapan rapi termasuk sesi perkenalan (ta’ruf) dilakukan sebelum perkahwinan berlaku. Kenali pasangan anda melalui kenalan dan keluarganya sebelum anda mengambil sebarang keputusan.

Cabaran Anak

Saya mula menimang cahaya mata ketika usia perkahwinan belum pun setahun. Walaupun saya dan suami amat gembira dengan kehadiran anak sulung kami, Muhammad Amirul Wafi, namun melalui fasa kehidupan sebagai ibu bapa muda bukanlah sesuatu yang mudah. Saya akui, kehidupan kami berubah 360 darjah dengan kehadirannya. Tidur tidak lagi lena, makan pula mesti bergilir.

Saya langsung tiada pengalaman mengendalikan bayi dan mengharapkan bantuan mak sepenuhnya dalam membimbing saya selepas bersalin. Suami juga begitu. Dalam keadaan yang agak tertekan, nasihat orang tua dan orang-orang sekeliling, walaupun sangat berguna, seperti hujung pedang yang menikam. Seolah-olah, apa yang kita lakukan, salah belaka dari pandangan mereka. Sungguh menyeksakan.

Namun, saya dan suami cepat sedar, itulah cabaran ibu bapa muda yang mesti ditempuhi. Jika tiada kekuatan dan kesefahaman di antara pasangan, maka ramailah yang mengambil jalan mudah dan penuh emosi seperti penceraian, penderaan anak, mengasingkan diri dari dunia luar, kemurungan dan sebagainya.

Anak adalah anugerah Allah yang sangat berharga buat pasangan suami isteri. Mereka di jadikan untuk menghubungkan kasih sayang dan menguatkan rasa cinta di antara suami isteri. Generasi anak-anak ini memerlukan kebijaksaan ibu bapa untuk mereka membesar sebagi orang yang berguna dan berjaya.

Cabaran Keluarga

Seperti yang dijelaskan di atas tadi bahawa memasuki alam perkahwinan bermakna kita juga berkahwin dengan kehidupan pasangan anda. Keluarga pasangan kita seperti ibu bapa, adik beradik, ipar duai dan saudara mara pasangan telah menjadi urusan dan kehidupan kita juga. Itu adalah kenyataan yang tidak dapat kita katakan tidak.

Apabila kita berkahwin, masa dan waktu yang kita ada terpaksa dikongsi bersama dengan keluarga pasangan kita. Contohnya, hujung minggu yang anda rasakan ingin dihabiskan bersama pasangan dan anak-anak, terpaksa dibahagi dua. Kita mungkin akan pulang ke kampung sebulan sekali, memenuhi undangan kenduri kendara saudara mara atau terpaksa bercuti bersama keluarga mentua.

Begitu juga dengan kewangan. Gaji yang diperolehi oleh pasangan anda, semestinya bukan untuk anda seorang. Pasangan perlu memberi seratus dua setiap bulan buat keluarganya di kampung. Bagi saya, itu adalah tanggungjawab kita sebagai anak yang wajib dilaksanakan.

Bijak Menguruskan Emosi

Kerenah anak yang pelbagai memerlukan ibu bapa yang bijak dalam mengendalikan anak-anak. Ibu bapa muda harus melengkapi diri dengan ilmu pendidikan anak-anak. Selalulah berbincang sesama pasangan bagi menangani masalah yang dihadapi dalam mendidik. Sikap bertolak ansur dan saling bantu membantu sesama pasangan sangat penting di dalam mengendali dan mendidik anak-anak.

Tidak semua orang bertuah memiliki keluarga mentua yang ideal. Ada yang sering berendam airmata kerana sering makan hati dengan sikap keluarga mentua. Kadang kala, ada yang merasakan mereka tidak bebas untuk menguruskan keluarga mereka sendiri kerana campur tangan orang lain.

Cabaran-cabaran yang dilalui oleh kebanyakan ibu bapa muda perlulah ditangani dengan baik dan bijak. Sikap pemarah, egois, tidak boleh bertolak ansur adalah di antara sikap yang tidak dapat membantu kita dalam mengendalikan rumahtangga dengan baik dan berkesan. Seharusnya kita bersikap positif dan berlapang dada dalam dalam jua keadaan.

Saling Lengkap Mlengkapi

Pasangan suami isteri perlulah saling lengkap melengkapi kerana tiada siapa yang sempurna dan handal setiap masa dalam mengendalikan rumahtangga. Berkahwin dalam usia muda memerlukan kekuatan emosi dan sistem ketahanan yang utuh.

Bermusyawarah atau bermesyuarat dan berbincang sesama pasangan amat penting dalam kehidupan berumahtangga. Suami dan isteri perlulah berkomunikasi jika mahu mengendalikan rumahtangga dengan baik. Hidup ini tidak selalunya indah, namun bukanlah mustahil untuk kita mengecap segala kenikmatan dalam kehidupan dalam berumahtangga.


Wajarkah Anak Dihantar ke Tadika Seawal 4 Tahun?

Assalamu’alaikum wrt wbt….

Ini adalah jawapan saya kepada soalan yang diajukan oleh seorang pengunjung blog. Saya ingin berkongsi bersama anda semua.

 Terima kasih kerana sudi mengunjungi blog saya.Semoga puan mendapat manfaat daripada blog tersebut.

 Mengenai pertanyaan puan, sebagai Muslim sewajarnya kita meletakkan antara kriteria utama untuk kita menghantar anak ke taska atau tadika, ialah institusi tersebut mestilah Tadika Islam. Ini berpandukan beberapa sebab:

 1. Makanan: makanan yang dberikan kepada anak kita perlulah yang halal dari hukum syarak.Jika kita menghantar anak di tadika yang bukan Islam,maka ianya amat meragukan samada makanan yang diberikan kepada anak kita adalah halal ataupun tidak.

 2. Pengajaran & Pembelajaran: Amatlah penting bagi kita memberikan pendidikan yang terbaik kepada anak dalam semua segi. Sebagai seorang Muslim, pendidikan Islam perlulah diterapkan sejak dalam kandungan lagi. Pendidikan mudah seperti membca doa makan, membaca ayat-ayat lazim dan sebagainya adalah latihan mudah bagi anak pada usia muda.Jika dihantar ke tadika bukan Islam, dikhuatiri akan ada unsur-unsur agama lain yang akan diajar kepada anak.

 3. Role model: Anak memerlukan role model yang terbaik. Maka kita sebagai Muslim tentunya mahu seorang Muslim yang menjadi contoh kepada anak kita. Dari aspek pemakaian guru di sekolah, cara percakapan dan sebagainya memberikan contoh kepada anak kita.

 Jika puan menekankan soal bahasa, sekarang banyak tadika Islam yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai medium utama.

 Soalan tentang adakah sesuai anak dihantar ke tadika pada usia 4 tahun, ianya terpulang kepada ibu bapa itu sendiri. Pelbagai aspek perlu diambil kira sebelum menghantar anak ke tadika. Saya sendiri menghantar anak ke tadika pada usia 4 tahun kerana:

 1. Potensi diri: Setiap kanak-kanak mempunyai potensi diri tertentu yang perlu digilap dan dibentuk dengan baik. Dengan menghantar anak ke tadika seawal usia 4 tahun, dia dapat dilatih dan diajar oleh guru yang berpengalaman. Daripada duduk di rumah menatap TV dan bermain games, alangkah elok dihantar ke tadika agar dia dapat belajar.

 2. Sosial: Anak dapat meluaskan lagi komunikasinya dengan persekitran dan orang lain. Dia akan banyak berfikir jika dia banyak bergaul. Cuma ada beberapa kekhuatiran daripada ibu bapa jika anak mendapat sesuatu yang tidak baik seperti belajar perkataan yang tidak baik atau bergaduh. Ibu bapa tidak perlu risau,itu semua adalah proses pembelajaran dan ianya normal.Tanganinya dengan baik dan bijak.

 3. Belajar: Seawal usia 4 tahun, anak boleh belajar pelbagai benda. Janganlah mengharap yang tinggi-tinggi seperti tahu proses tambah,tolak atau hafal sifir. Bukan itu yang mereka belajar.Apa yang mereka akan belajar adalah asas membaca, mengira, menulis seperti mengikut garisan. Alhamdulillah anak saya pun sudah menulis semua nombor. Bermain pun adalah proses belajar seperti memasukkan air ke dalam botol dengan menggunakan sponge.Ianya dapat merangsang otak anak dan melatih koordinasi mata dan tangan.

 Saya harap, informasi yang sedikit ini dapat membantu puan membuat keputusan samada ingin menghantar anak puan atau tidak.Jika tidak, itu pilihan puan.Namun puan perlulah membuat aktiviti berjadual yang berfaedah dan baik untuk perkembangan anak puan di rumah.

 Sekian, terima kasih.

 Puan Norashikin Hashim

www.ummiasyiq.wordpress.com


Takziah Dari Kami Sekeluarga

gambar raya 003

Assalamu’alaikum wrt wbt

Subhanallah. .tak tertahan airmata menekuni setiap kata-kata Ustaz hasrizal.Muizzudin dan Fatimah seperti adik beradik.Sungguh terusik naluri keibuan ini tatkala melihat wajah ceria abi (Ustaz Ramadhan) dan ummi (Ukth Khadijah) di samping puteri yang baru menjengah dunia.Siapa yang tahu,kehadiran bidadari kecil itu hanya sebentar kerana duduknya dia di singgahsana syurga lebih utama dr menetap di bumi yang fana.

Saya sangat menginsafi di setiap bait kata-kata Ustaz Hasrizal yang sama-sama menangisi kepergian anakanda Fatimah kerana akrabnya dia dengan Ustaz Ramadhan.Benarlah, betapa berharganya harga sebuah kehidupan lebih-lebih lagi ianya kepunyaan insan kecil yang hanya menumpang secebis ruang di bumi ini.

Terpandang-pandang wajah anak-anak yang sedang membesar di depan mata.Bagaimanakah mereka ketika ini di bwah penjagaan orang lain.Sedangkan ketika tangan ini menghadapi karenah mereka,sesekali terlepas juga amarah dan tercabar jua emosi.Insafnya, tatkala melihat renungan anak-anak yang ketika kita memarahinya, dia seakan ingin mengatakan,” Nakalku ini pahala buatmu,Ummi! ” Subhanallah. ….

Hargailah mereka ketika mereka masih lagi di sisi. Kerana masih ada insan yang mengharap sehela nafas agar si kecil bidadari terus menumpang di bumi ini.Namun takdir Allah melangkaui doa dan usaha kecil kita kerana Dia maha tahu apa yang terbaik buat diri kita.

Tabahlah wahai sahabat…sudah tentu anak kalian beradu bahagia di singgahsana syurga.Kami? Kami masih lagi bertarung emosi membentuk generasi yang entah ke mana arah tujuannya nanti.Kisahmu ini begitu menginsafkan sanubari seorang ummi yang terus terusan memikul amanah bagi menjana generasi yang mendaulatkan agama Allah.Ameen.

Norashikin Hashim&Supian Mat Nan

Wafi&Wasim


Belasungkawa Ustaz Ramadhan Sekeluarga

P9210153

Belasungkawa Ustaz Ramadhan Sekeluarga Almarhumah anakanda Nur Fatimah bersama ibu dan bapanya, Ukhti Khadijah dan Ustaz Mohd. Ramadhan Fitri [kredit sumber]

 Innaa Lillaah wa Innaa Ilayhi Raaji’oon… Saya kehilangan perkataan. Terlalu sedih tatkala menyambut berita pagi ini. Anakanda Nur Fatimah, cahaya mata pertama buat sahabat seperjuangan saya Ustaz Mohd Ramadhan Fitri Ilyas dan Ukhti Khadijah, telah bertemu dengan janji Allah kepadanya. Setelah dua minggu bertarung nyawa di ICU Hospital Putra Jaya, anakanda Nur Fatimah telah kembali ke Rahmatullah pada jam 6:20 pagi, di subuh hening Dhulqaedah ketiga 1430H.

TAWA AKHIRNYA DI MATA KAMI

Baru sahaja saya dan isteri bertemu dengan anakanda Nur Fatimah semasa kami berkunjung ke rumah sahabat di petang Syawwal. Masih teringat senyum tawa si anak kecil malam itu. Terkenang kembali saat-saat kelam kabut saya dan Ustaz Ramadhan semasa menguruskan kelahiran anakanda Ahmad Muizzuddin yang lahir 11 hari selepas anakanda Nur Fatimah menjengah hidup di pelukan ibu bapanya. “Teringat balik kata-kata ustaz tentang kisah bangun malam, mata merah dan cabaran mengantuk di tempat kerja,” gurau Ustaz Ramadhan yang ketika itu baru sahaja menyertai ‘Kelab Mata Merah’, gelaran yang sering saya berikan kepada kaum bapa yang menyambut kelahiran anak kecil. Tiba-tiba kami dikejutkan dengan berita yang amat mengganggu fikiran. Anakanda Nur Fatimah mengalami sawan, dimasukkan ke wad pediatrik biasa di Hospital Putra Jaya.Keadaan menjadi semakin kritikal hingga anakanda dipindahkan ke wad ICU. Di situ, anakanda Nur Fatimah terlantar, intubated dan ventilated. Pada usia yang begitu muda dan tubuh yang masih kecil, beliau bertarung nyawa dengan dua inotropic supports.

ZIARAH DI ICU

Jumaat lalu, saya dan isteri berjaya mencuri masa berkejar ke Hospital Putra Jaya untuk menziarahi mereka. Saya berasa lega dengan keadaan Ustaz Ramadhan dan isteri yang tenang dan mereka mampu berbicara dengan lapang fikiran tentang segala perkembangan dan kebarangkalian yang menanti di hadapan. Saya yang ketika itu bertarung emosi. Tidak mudah untuk sesiapa sahaja melihat melihat anak kecil dipenuhi tiub dan wayar di seluruh tubuh. Saya biarkan sahaja Ummu Saif berbicara untuk berbincang tentang keadaan anakanda Nur Fatimah. Sebaliknya saya banyak mendiamkan diri kerana mahu menahan air mata dari mengganggu pertarungan dalaman Ustaz Ramadhan dan isteri. Sedih sekali. Di hari itu, anakanda Nur Fatimah sudah tidak menerima sedation. Beliau terus menerus berada di dalam deep coma dan tidak memberikan sebarang tindak balas kepada apa-apa stimulasi. Dalam erti kata yang lain, pada Jumaat 16 Oktober lalu, anakanda Nur Fatimah sudah berada di dalam keadaan koma dan hanya bertahan dengan bantuan ubat untuk jantung sahaja tanpa sebarang aktiviti otak lagi. “Doakan untuknya ya ustaz!” kata Ustaz Ramadhan Fitri kepada saya di saat perpisahan kami. “Ana juga doakan untuk ibu dan bapa Nur Fatimah, ya akhi. Semoga antum berdua tabah!” saya menjawab. Kami berpelukan dan berpisah.

PUNCA YANG SUKAR DITENTU

Sukar untuk ditentukan apakah punca kepada keadaan anakanda Nur Fatimah ketika itu. Beberapa ujian sudah dilakukan dan kebarangkalian berkaitan jangkitan seperti meningitis atau isu metabolik yang berkaitan dengan genetik juga sudah diketepikan. Tanpa sebarang tanda trauma yang ketara di luaran tubuh anakanda, apa yang tinggal adalah kebarangkalian insiden Shaken Baby Syndrome, yakni gegaran otak yang berlaku atas sebab yang pelbagai. Oleh kerana anakanda Nur Fatimah menunjukkan kemerosotan yang berperingkat sebelum beliau koma, maka sukar sekali untuk ditentukan apakah insiden dan di manakah berlakunya kejadian yang mencetuskan gegaran itu. Tahap toleransi anak-anak yang berbeza terhadap gegaran ini, menjadi iktibar buat saya dan kita semua agar tidak lupa kepada hakikat bahawa seorang bayi amat fragile. Gegaran boleh berlaku dengan timangan kasih sayang yang sederhana, henjutan buaian malah ada kes yang membabitkan anak yang dihimpit seketika oleh ibu atau selalunya bapa semasa tidur bersama. Oh… sukar sekali. Saya memeluk anak-anak. Setiap hari mereka membesar, ia adalah suatu kejayaan melepasi ujian-ujian kehidupan. Wajah anakanda kami Ahmad Muizzuddin saya tatap, dengan doa dan harapan agar beliau terus membesar dengan selamat. Terasa benar satu kekosongan di hati tatkala mengenangkan pemergian anakanda Nur Fatimah, si kakak yang hanya berpeluang seketika melimpahkan sejuk mata dan damai jiwa ke hati ayah dan bondanya.

SECEBIS KISAH DI DIARI NUBUWWAH

Terkenang saya kepada selubung duka yang melanda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam ketika masih letih pulang dari misi Tabuk, menyambut berita geringnya anak lelaki baginda, Ibrahim. Di dalam Sahih Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abi Dawood dan Sunan Ibn Majah, tercatat kisah berikut: Anas bin Malik meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam masuk ke kamar dan kami menemaninya… dan Ibrahim menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mata Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam basah dengan limpahan air mata. Lalu Abd al-Rahman bin Auf berkata, “apakah engkau meratap ya Rasulallah?” Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menjawab, “ia adalah sifat rahmah (naluri kasih sayang).” Baginda Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam menyambung lagi, “sesungguhnya mati kami basah dengan air mata, dan hati kami tepu dengan duka, namun lisan kami tidak mengungkapkan sebarang kata melainkan apa yang diredhai oleh-Nya. Oh Ibrahim, sesungguhnya kami amat sedih dengan pemergianmu…”

Buat Ustaz Mohd Ramadhan Fitri dan Ukhti Khadijah, kuatkanlah hati kalian, dampingilah Dia untuk mengisi kesepian yang ditinggalkan anakanda. Nur Fatimah disinggahsanakan Allah di Sana, menjadi syafaat buat kalian ibu bapanya, hingga ke hari pertemuan dan perjanjian kita sepertinya, suatu ketika nanti. Saya mewakili ahli keluarga dan seluruh warga Saifulislam. Com mengucapkan takziah buat kalian berdua. Salam kasih sayang dan sokongan semangat daripada kami.


H1N1 dan Saya

Assalamu’alaikum wrt wbt

Semoga sahabat dan pengunjung blog saya dirahmati Allah swt. Terima kasih kerana masih lagi setia melayari blog ini meskipun agak lama saya tidak post cerita serta tips-tips terbaru buat tatapan pengunjung setia.

Seorang daripada sahabat dan pengunjung setia blog saya telah menelefon bertanyakan khabar saya setelah mengetahui tentang berita saya diserang H1N1. Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat yang tidak putus-putus bertanya khabar samada melalui telefon ataupun SMS.

Bercerita tentang H1N1 yang menyerang saya semasa bulan puasa yang lalu, amat memberikan kesan di dalam kehidupan saya. Tentunya semua tahu daripada media cetak mahupun elektronik tentang H1N1. Seseorang yang diserang dan positif H1N1 telah atau pun sedang berhubung dengan pesakit yang mempunyai simptom H1N1 dan itulah yang berlaku kepada saya.

Ceritanya begini, sedang saya mengajar, salah seorang anak murid saya mengadu tidak sedap badan dan saya dengan segera telah pergi kepadanya dan merasai dahinya. Memang terlalu panas dan pelajar tersebut dikehendaki pulang ke rumah.

Keesokkan harinya(hari Rabu) saya mula rasa tidak sedap badan. Saya kira ianya perkara biasa kerana saya sedang hamil 2 bulan pada ketika itu. Saya mendapat cuti sakit dan kembali ke sekolah pada hari khamis. Pada hari Jumaat pula, seorang daripada ustaz di sekolah saya memberitahu bahawa pelajar yang demam tempoh hari terkena H1N1 (selepas itu saya mendapat tahu dia hanyalah ILI namun masih lagi mempunyai simptom dan boleh menjadi pembawa walaupun tidak positif).

Pada hari Sabtu, saya ke Klinik Anis Seksyen 2 Shah Alam. Badan saya terlalu panas dan saya tidak dapat berpuasa. Doktor bertanya kepada saya jika saya ada berhubung dengan pesakit H1N1 dan dengan jujur saya mengatakan ada (berdasarkan maklumat yang saya perolehi dan bukan untuk menyalahkan pelajar terbabit).

Doktor menjadi cemas bila suhu badan saya menunjukkan 39 darjah celcius dan saya tergolong di kalangan yang berisiko tinggi kerana saya hamil. Disebabkan saya mempunyai simptom dan pernah berhubung dengan pesakit, saya dirujuk ke hospital dan kemudian saya ke KPJ Specialist Selangor.

Setibanya saya di wad kecemasan KPJ, saya dikehendaki menjalani ujian H1N1 dengan mengambil sample dari tekak saya.Satu jam selepas it, keputusan pun keluar.

” Puan, puan didapati positif H1N1.” Pada waktu itu apa yang boleh saya lakukan hanyalah mengalirkan airmata dan teringat anak-anak di rumah. Suami cuba menenagkan saya. Tiada lain yang bermain di fikiran saya waktu itu, hanyalah kematian.

Saya dikuarantinkan di rumah selama seminggu. Suami pula secara automatik juga tidak boleh ke pejabat. Hari-hari yang saya lalui sangat menyedihkan bagi saya.Rasanya setiap waktu saya menangis lebih-lebih lagi ketika solat dan membaca al-Quran. Suami pula mengambil alih tugas menjaga anak-anak.

Pada malam yang pertama saya sakit, Wasim tidak mahu ikut abinya. Saya jadi bingung dan sangat tertekan. Suami sangat berpesan, melarang saya memegang atau menyentuh anak-anak kerana khuatir mereka akan dijangkiti. Saya menyorok pada suatu pagi (jam 3) apabila Wasim bangun mencari-cari saya. Dia berlari naik ke tingkat atas, ke sana sini mencari umminya. Akhirnya dapat juga dia menjumpai saya di bilik kuarantin saya di tingkat bawah.

Saya terus memeluk dan mendukungnya. Dia pula terus lena dalam dakapan saya. Suami terpaksa akur.  Namun esoknya Wasim sudah boleh faham. Abangnya Wafi sangat bijak. Dia tahu umminya dijangkiti H1N1 dan sangat suka menonton dari TV, cara-cara membasuh tangan dengan betul . Saya sangat terharu bila mana kadang-kadang saya terdengar dia bercakap seorang diri, ” Ummi sakit. Ummi kena H1N1.” Mungkin dia belajar daripada abinya.

Sahabat-sahabat ex-uia dan guru-guru sejawat dari IISKD dan ISSA, ayah dan mak dari Mekah, atuk dan nenek di kampung, makcik-makcik dan pakcik-pakcik saya juga keluarga sebelah suami, semuanya sangat mengambil berat. Ada yang membuat solat hajat untuk kesembuhan saya. Saya sangat-sangat terharu. Terima kasih semua!

Sejujurnya saya sangat risau akan bayi di dalam kandungan saya. Antiviral yang saya ambil masih lagi tidak mempunyai research apa yang akan terjadi kepada bayi. Saya amat sedih dan tertekan.Namun saya cuba menjadi setabah mungkin.Saya membuat jadual pemakanan ubat dengan teratur dan sentiasa minum air zam-zam yang diberikan mak.Saya hanya berharap agar cepat sembuh agar saya boleh memeluk anak-anak saya dan dapat melihat bayi saya lahir dalam keadaan yang sihat.

Semasa saya sakit, saya mengambil keputusan berat untuk meletakkan jawatan sebagai guru di ISSA (Integrated Islamic School Shah Alam).Keputusan ini diambil kerana saya ingin fokus kepada kehamilan saya dan memberikan yang terbaik untuk bayi saya kelak. Sungguh H1N1 ini memberikan kesan yang amat mendalam terhadap kehidupan saya. Namun saya ingin lakukannya hanya selepas pelajar tamat menduduki peperiksaan akhir tahun.

Saya melanjutkan cuti seminggu yang diberikan kerana masih belum sihat sepenuhya. 2 minggu saya duduk di rumah dengan batuk yang amat menyakitkan. Pernah satu malam saya seperti sukar untuk bernafas. Hanya kematian yang bermain di fikiran.

Pada minggu yang ketiga barulah saya dapat ke sekolah. Namun dugaan masih lagi datang. Wafi pula demam. Saya jadi cemas. Sudah seminggu dia demam, namun masih tidak kebah.Dia juga diujuk ke hospital disebabkan saya mempunyai sejarah H1N1. Saya jadi tak tentu hala. Cuti telah banyak saya ambil. Apa pula kata orang? Kasihan pula kepada cikgu-cikgu yang terpaksa menggantikan tempat saya.

Disebabkan itulah saya mengambil keputusan yang paling berat dengan menghantar notis 24 jam untuk melepaskan jawaan saya sebagai guru.Tindakan saya mendapat keizinan suami kerana katanya itu yang terbaik buat saya dan anak-anak.Namun pihak sekolah tidak membenarkan dan menyarankan saya agar mengambil cuti tanpa gaji sehingga saya bersalin nanti. Apa pun nanti, samada saya akan kembali atau tidak, saya kini rasa lapang dan lebih tenang bila dapat menguruskan anak-anak tanpa perlu membawa mereka seawal 6.30 pagi ke sekolah. Kasihan mereka!

Saya agak sedih kerana dalam banyak-banyak yang prihatin ada juga kata-kata tidak enak didengar. Ada yang mengatakan saya tidak patut menyalahkan pelajar terbabit dan ada pula yang tidak puas hati saya mengambil cuti terlalu lama. Apa yang boleh saya katakan, dugaan ini datang kepada saya dan keluarga saya. Apa yang anda akan lakukan jika anda di tempat saya?Apa anda akan jawab jika doktor tanya ‘ada tak direct contact dengan pesakit?’ sedangkan waktu itu saya mendapat informasi tentang pelajar terbabit. Saya tidak menyalahkan….saya ulangi saya tidak menyalahkan. Saya hanya menjawab soalan doktor, ‘Ya, ADA’. Itu sahaja.

Tentang cuti, jika anda ditempat saya, apa yang anda lakukan? Anda ingin terus bekerja tanpa anda rasa apa-apa bila anak anda demam? Saya cinta kerjaya perguruan saya, namun saya paling cinta keluarga saya, Jika demam biasa tidak mengapalah juga, tapi pertimbangkan lah saya pernah kena H1N1 dan saya mengandung.Tentu ia memberikan tekanan yang amat dasyat kepada saya.

Saya teringat kata-kata sahabat baik saya.

” Shikin, H1N1 ni bukan saja dugaan untuk awak, tapi hendak menduga sahabat-sahabat awak juga.”

Sangat mendalam maksudnya. Fikirkanlah!

Kini apa yang sedang saya lakukan ialah saya menulis sebuah novel Islami dan satu buku motivasi. Novel Islami telah siap, alhamdulillah. Jika novel ini mendapat sambutan, mungkin saya akan terus menjadi penulis..insyaAllah.

Akhir kata, terima kasih di atas sokongan semua yang telah banyak menaikkan semangat saya.

Ummi Asyiq 🙂


Membeli secara Online

Salam to all…

Alhamdulillah saya kini dengan rasminya telah membuka sebuah kedai online saya. Telah begitu lama rasanya mengidamkan kedai online ini di mana saya boleh menjual barang-barang keperluan bayi, kanak-kanak dan pakaian Muslimah juga tidak ketinggalan.

Walaupun peringkat permulaan ini barang yang dijual masih belum banyak, insyaAllah dari semasa ke semasa saya akan selalu menambah dan melihat keperluan semasa. Buat masa sekarang saya sedang menjual Cloth diaper dan tilam kekabu. InsyaAllah akan datang barut dan bengkung. Baju kurung juga di dalam proses, insyaAllah.

Semoga apa yang kita semua usahakan akan mendapat keberkatan daripada Allah. Saya ingin merakamkan jutaan terima kasih kepada suami yang banyak memberikan sokongan, begitu juga keluarga yang memahami dan juga sahabat saya, Suhaila yang banyak mengajar saya tentang perniagaan online.

Selamat membeli dengan bijak.

Layari laman web/kedai online saya di www.ummiasyiq.blogspot.com

Ummi Asyiq 🙂


Cloth Diaper

Salam to all…

Saya ingin memperkenalkan kepada semua sahabat saya Cloth Diaper di mana ianya lebih ekonomi daripada disposable diaper (lampin pakai buang)

Untuk keterangan lanjut dan gambaran lebih jelas berkenaan cloth diaper, sila ke blog terbaru saya: http://www.ummiasyiq.blogspot.com

Selamat membeli dan belilah dengan bijak


Abi Ummi: Doktor Kepada Anak-anak

Salam Alaik…gambar raya 007

Saya menangis teresak-esak sendirian melihatkan anak kedua kami (Wasim@adik) mengamuk tidak henti-henti. Badan saya rasakan terlalu letih. Ditambah pula kerenah Wasim yang tiba-tiba bangun dan mengamuk, saya bertambah lelah.

Jam sudah 3 pagi. Ada beberapa jam lagi untuk subuh dan kerja seperti biasa. Ah, seakan malam dan rehat tidak wujud bagi saya jika Wasim berkelakuan begini. Suami pula cuba memicit-micit ibu jari kakinya dan membacakan ayat-ayat tertentu.

Begitulah kisah anak saya yang seorang ini. Dia akan mengamuk dan menangis sekuatnya tanpa apa-apa sebab. Diberikan susu dia tak mahu, dipujuk juga tak mahu. ” Biar saja lah yang dia nangis sampai pagi.” Begitu nada suami yang seakan putus asa untuk memujuk anak. Nak dimarah atau dipukul, bukan penyelesaiannya. Mungkin akan jadi lebih parah lagi.

” Adik ni kenapa, tak kesian ke kat ummi? ” Suami kasihan melihat saya memujuk anak dan kadang tersengguk-sengguk kerana terlalu mengantuk.

Esoknya saya mendapatkan air zam zam yang telah dibacakan doa oleh bekas imam besar masjid negeri shah alam. Selepas solat maghrib, saya membaca surah al-Baqarah, 3 qul, ayatul kursi dan ma’thurat, berlarutan sehingga anak-anak masuk tidur. Saya bisikkan ke telinga Wasim, ” Jadi anak yang soleh, jangan nagis-nangis, jangan ngamuk-ngamuk. Kalau adik nak apa-apa cakap elok-elok dengan ummi ye.” Saya lumurkan air zam zam tadi ke ubun-ubunnya dan sebelum dia tidur tadi, dia sudah meneguk air mukjizat itu.

Alhamdulillah, dengan usaha berpanjangan, termasuk suami yang sering membacakan ayat-ayat tertentu, Wasim semakin boleh dikawal. Jika kena taktik dan caranya, dia bisa ‘cair’ dengan pujukan ummi dan abinya 🙂

Tidak kiralah anak mengamuk itu datang kerana gangguan makhluk halus atau ianya adalah salah satu fasa perkembangan anak, sebagai ibu dan bapa menjadi kewajipan untuk kita mencari punca dan ubatnya. Ilmu parenting itu penting, namun segala ilmu itu perlu berteraskan kepada sifat serta keperibadian ibu bapa itu sendiri agar selalu dekat dengan Allah dan yakin hanya Allah lah tempat segalanya untuk kita mengadu dan mengharap.

Saya sarankan kepada semua ibu bapa untuk sentiasa membisikkan kata-kata yang baik dan nasihat kepada anak ketika dia sedang mamai untuk tidur. Waktu itulah otaknya dalam keadaan berehat dan dapat menyimpan kata-kata di dalam simpananya.

Ketika anak anda melakukan perkara yang baik dan menggembirakan, pujilah mereka dan kurangkan memarahi mereka ketika membuat kesalahan kerana terlalu banyak dimarahi akan melemahkan jiwanya.

Selamat mendidik…ingatlah, didikan yang terbaik adalah didikan yang berteraskan Islam. Semoga kita semua diberikan petunjuk oleh Allah agar setiap perkara yang kita lakukan mendapat redha Allah.

Ibu bapa itulah doktor, kaunselor, guru, pegawai penyiasat kepada anak.. 🙂

UmmiAsyiq 🙂


Cinta ke Akhir Hayat…

salam alaik…gambar raya 031

Hari ini jiwa halus saya tersentuh. Satu family yang datang ke kedai makan saya telah memberikan pengajaran paling berharga buat saya sebagai seorang isteri.

” Pakcik nak makan?” Seperti itulah rutin saya bersikap mesra pelanggan. Lagi pula melihat pakcik tabah ini, saya betul-betul menghormatinya.

” Er..sekejap ye nak, biar makcik tengok dulu apa yang dia nak makan.” Pakcik tabah ini menolak perlahan wheel chair yang diduduki isteri kesayangannya. Isterinya hanya berpakaian biasa dengan kain batik. Matanya melihat ke arah lauk pauk dan jika dia mahukan lauk itu, dia akan tunjukkan kepada suaminya. Tiada suara. Saya semakin ingin mendekati keluarga ini.

Mengikut di belakang adalah anak-anak yang masih lagi memerlukan perhatian. Dalam perhatian saya, yang paling besar masih dalam sekolah menegah dan yang kecil mungkin baru melangkah ke tadika.

Sesekali terdengar anak yang kecil terjerit-jerit kerana diusik oleh abangnya. Pakcik tadi mula resah melihatkan anaknya mula mengamuk. Namun isterinya hanya diam membisu. Si anak masih lagi terjerit-jerit, menyebabkan kakak mula menyampuk. Terjadilah pergaduhan mulut di antara anak-anak pakcik tadi sehingga menarik perhatian pelanggan yang lain.

Selepas pakcik tadi selesai memilihkan makanan untuk isteri dan anak-anaknya, barulah dia memilih makanan untuk diirinya. Namun baru sahaja dia mahu menjamah makanan, isterinya pula mula muntah. Pakcik tadi bangun dan berlari ke arah kereta dan mengambil kain lap.

Pakcik membantu isterinya yang tiada daya tadi membersihkan muntah yang mengotori mulut dan pakaianya. Hati saya sangat tersentuh. Betapa tabahnya pakcik ini yang diduga dengan isteri yang sakit dan anak-anak yang benar-benar menguji kesabarannya. Saya hanya mampu mendoakan agar isterinya sembuh dari penyakit dan kembali menikmati kebahagiaan hidup berkeluarga.

16 Mei ini, maka genaplah 5 tahun usia perkahwinan saya dan suami. Masih jauh perjalanan kami. Banyak lagi yang kami belum tempuh. Saya ingin jadi isteri yang terbaik buat suami, namun kadang rasa tak mampu. Saya ingin yang terbaik buat suami dan anak-anak. Dan saya yakin, suami juga begitu.

Bersedia atau tidak, kehidupan berumah tangga pasti ada cabaran dan rintangannya. Seperti pakcik yang saya ceritakan tadi, pasti dia tidak pernah menyangka bahawa suatu hari nanti, isterinya akan jatuh sakit dan dia mengambil alih segala tugas isteri menguruskan rumah dan anak-anak.

Sabarnya pakcik tadi…tabahnya dia. Jika terkena pada orang yang tidak kuat iman, pasti jalan salah yang dia pilih. Namun, kesusahan dan kepayahan bagi orang yang beriman, umpama baja yang menyuburi keimanan dan ketaqwaannya. Begitulah cinta ke akhir hayat. Jika suami susah, isteri juga turut susah. Jika isteri sakit, suami rela dan sabar menemaninya.  Bagaikan tongkat yang menjadi pembantu kepada si tua yang bongkok, begitulah suami dan isteri, mereka saling memerlukan.

Sempenan ulangtahun perkahwinan yang ke-5 ini, saya ingin merakamkan penghargaan buat suami tercinta, Mohd Supian bin Mat Nan yang banyak mengajar saya. Beliaulah ustaz saya, kekasih saya, abi kepada anak-anak saya, abang ipar kepada adik-adik saya yang sangat menghormatinya dan menantu yang sangat dikasihi oleh ayah dan ibu saya juga harapan mak dan abahnya.

” Abang…Semoga Allah selalu bersama kita dalam menempuh alam perkahwinan ini. Abanglah teman sejati ayang….Happy anniversary.”