Ummiasyiq’s Little Heaven



H1N1 dan Saya

Assalamu’alaikum wrt wbt

Semoga sahabat dan pengunjung blog saya dirahmati Allah swt. Terima kasih kerana masih lagi setia melayari blog ini meskipun agak lama saya tidak post cerita serta tips-tips terbaru buat tatapan pengunjung setia.

Seorang daripada sahabat dan pengunjung setia blog saya telah menelefon bertanyakan khabar saya setelah mengetahui tentang berita saya diserang H1N1. Terima kasih kepada semua sahabat-sahabat yang tidak putus-putus bertanya khabar samada melalui telefon ataupun SMS.

Bercerita tentang H1N1 yang menyerang saya semasa bulan puasa yang lalu, amat memberikan kesan di dalam kehidupan saya. Tentunya semua tahu daripada media cetak mahupun elektronik tentang H1N1. Seseorang yang diserang dan positif H1N1 telah atau pun sedang berhubung dengan pesakit yang mempunyai simptom H1N1 dan itulah yang berlaku kepada saya.

Ceritanya begini, sedang saya mengajar, salah seorang anak murid saya mengadu tidak sedap badan dan saya dengan segera telah pergi kepadanya dan merasai dahinya. Memang terlalu panas dan pelajar tersebut dikehendaki pulang ke rumah.

Keesokkan harinya(hari Rabu) saya mula rasa tidak sedap badan. Saya kira ianya perkara biasa kerana saya sedang hamil 2 bulan pada ketika itu. Saya mendapat cuti sakit dan kembali ke sekolah pada hari khamis. Pada hari Jumaat pula, seorang daripada ustaz di sekolah saya memberitahu bahawa pelajar yang demam tempoh hari terkena H1N1 (selepas itu saya mendapat tahu dia hanyalah ILI namun masih lagi mempunyai simptom dan boleh menjadi pembawa walaupun tidak positif).

Pada hari Sabtu, saya ke Klinik Anis Seksyen 2 Shah Alam. Badan saya terlalu panas dan saya tidak dapat berpuasa. Doktor bertanya kepada saya jika saya ada berhubung dengan pesakit H1N1 dan dengan jujur saya mengatakan ada (berdasarkan maklumat yang saya perolehi dan bukan untuk menyalahkan pelajar terbabit).

Doktor menjadi cemas bila suhu badan saya menunjukkan 39 darjah celcius dan saya tergolong di kalangan yang berisiko tinggi kerana saya hamil. Disebabkan saya mempunyai simptom dan pernah berhubung dengan pesakit, saya dirujuk ke hospital dan kemudian saya ke KPJ Specialist Selangor.

Setibanya saya di wad kecemasan KPJ, saya dikehendaki menjalani ujian H1N1 dengan mengambil sample dari tekak saya.Satu jam selepas it, keputusan pun keluar.

” Puan, puan didapati positif H1N1.” Pada waktu itu apa yang boleh saya lakukan hanyalah mengalirkan airmata dan teringat anak-anak di rumah. Suami cuba menenagkan saya. Tiada lain yang bermain di fikiran saya waktu itu, hanyalah kematian.

Saya dikuarantinkan di rumah selama seminggu. Suami pula secara automatik juga tidak boleh ke pejabat. Hari-hari yang saya lalui sangat menyedihkan bagi saya.Rasanya setiap waktu saya menangis lebih-lebih lagi ketika solat dan membaca al-Quran. Suami pula mengambil alih tugas menjaga anak-anak.

Pada malam yang pertama saya sakit, Wasim tidak mahu ikut abinya. Saya jadi bingung dan sangat tertekan. Suami sangat berpesan, melarang saya memegang atau menyentuh anak-anak kerana khuatir mereka akan dijangkiti. Saya menyorok pada suatu pagi (jam 3) apabila Wasim bangun mencari-cari saya. Dia berlari naik ke tingkat atas, ke sana sini mencari umminya. Akhirnya dapat juga dia menjumpai saya di bilik kuarantin saya di tingkat bawah.

Saya terus memeluk dan mendukungnya. Dia pula terus lena dalam dakapan saya. Suami terpaksa akur.  Namun esoknya Wasim sudah boleh faham. Abangnya Wafi sangat bijak. Dia tahu umminya dijangkiti H1N1 dan sangat suka menonton dari TV, cara-cara membasuh tangan dengan betul . Saya sangat terharu bila mana kadang-kadang saya terdengar dia bercakap seorang diri, ” Ummi sakit. Ummi kena H1N1.” Mungkin dia belajar daripada abinya.

Sahabat-sahabat ex-uia dan guru-guru sejawat dari IISKD dan ISSA, ayah dan mak dari Mekah, atuk dan nenek di kampung, makcik-makcik dan pakcik-pakcik saya juga keluarga sebelah suami, semuanya sangat mengambil berat. Ada yang membuat solat hajat untuk kesembuhan saya. Saya sangat-sangat terharu. Terima kasih semua!

Sejujurnya saya sangat risau akan bayi di dalam kandungan saya. Antiviral yang saya ambil masih lagi tidak mempunyai research apa yang akan terjadi kepada bayi. Saya amat sedih dan tertekan.Namun saya cuba menjadi setabah mungkin.Saya membuat jadual pemakanan ubat dengan teratur dan sentiasa minum air zam-zam yang diberikan mak.Saya hanya berharap agar cepat sembuh agar saya boleh memeluk anak-anak saya dan dapat melihat bayi saya lahir dalam keadaan yang sihat.

Semasa saya sakit, saya mengambil keputusan berat untuk meletakkan jawatan sebagai guru di ISSA (Integrated Islamic School Shah Alam).Keputusan ini diambil kerana saya ingin fokus kepada kehamilan saya dan memberikan yang terbaik untuk bayi saya kelak. Sungguh H1N1 ini memberikan kesan yang amat mendalam terhadap kehidupan saya. Namun saya ingin lakukannya hanya selepas pelajar tamat menduduki peperiksaan akhir tahun.

Saya melanjutkan cuti seminggu yang diberikan kerana masih belum sihat sepenuhya. 2 minggu saya duduk di rumah dengan batuk yang amat menyakitkan. Pernah satu malam saya seperti sukar untuk bernafas. Hanya kematian yang bermain di fikiran.

Pada minggu yang ketiga barulah saya dapat ke sekolah. Namun dugaan masih lagi datang. Wafi pula demam. Saya jadi cemas. Sudah seminggu dia demam, namun masih tidak kebah.Dia juga diujuk ke hospital disebabkan saya mempunyai sejarah H1N1. Saya jadi tak tentu hala. Cuti telah banyak saya ambil. Apa pula kata orang? Kasihan pula kepada cikgu-cikgu yang terpaksa menggantikan tempat saya.

Disebabkan itulah saya mengambil keputusan yang paling berat dengan menghantar notis 24 jam untuk melepaskan jawaan saya sebagai guru.Tindakan saya mendapat keizinan suami kerana katanya itu yang terbaik buat saya dan anak-anak.Namun pihak sekolah tidak membenarkan dan menyarankan saya agar mengambil cuti tanpa gaji sehingga saya bersalin nanti. Apa pun nanti, samada saya akan kembali atau tidak, saya kini rasa lapang dan lebih tenang bila dapat menguruskan anak-anak tanpa perlu membawa mereka seawal 6.30 pagi ke sekolah. Kasihan mereka!

Saya agak sedih kerana dalam banyak-banyak yang prihatin ada juga kata-kata tidak enak didengar. Ada yang mengatakan saya tidak patut menyalahkan pelajar terbabit dan ada pula yang tidak puas hati saya mengambil cuti terlalu lama. Apa yang boleh saya katakan, dugaan ini datang kepada saya dan keluarga saya. Apa yang anda akan lakukan jika anda di tempat saya?Apa anda akan jawab jika doktor tanya ‘ada tak direct contact dengan pesakit?’ sedangkan waktu itu saya mendapat informasi tentang pelajar terbabit. Saya tidak menyalahkan….saya ulangi saya tidak menyalahkan. Saya hanya menjawab soalan doktor, ‘Ya, ADA’. Itu sahaja.

Tentang cuti, jika anda ditempat saya, apa yang anda lakukan? Anda ingin terus bekerja tanpa anda rasa apa-apa bila anak anda demam? Saya cinta kerjaya perguruan saya, namun saya paling cinta keluarga saya, Jika demam biasa tidak mengapalah juga, tapi pertimbangkan lah saya pernah kena H1N1 dan saya mengandung.Tentu ia memberikan tekanan yang amat dasyat kepada saya.

Saya teringat kata-kata sahabat baik saya.

” Shikin, H1N1 ni bukan saja dugaan untuk awak, tapi hendak menduga sahabat-sahabat awak juga.”

Sangat mendalam maksudnya. Fikirkanlah!

Kini apa yang sedang saya lakukan ialah saya menulis sebuah novel Islami dan satu buku motivasi. Novel Islami telah siap, alhamdulillah. Jika novel ini mendapat sambutan, mungkin saya akan terus menjadi penulis..insyaAllah.

Akhir kata, terima kasih di atas sokongan semua yang telah banyak menaikkan semangat saya.

Ummi Asyiq🙂


Trackbacks & Pingbacks

Comments

  1. * noor azizan bte mohd says:

    As-salam sy bru membaca brita ini,dan merasa sedih di atas apa yg terjadi tetapi sy amat yakin puan dan keluarga amat tabah menghadapi ujian dari yg ESA.sy berharap saya juga sekuat puan untuk menghadapi setiap ujian dan cabaran dalam hidup ini.semuga kita smua dalam lindungan ALLah sentiasa.InsyaAllah

    | Reply Posted 7 years ago


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: