Ummiasyiq’s Little Heaven



Cabaran Ibu Bapa Muda Masa Kini

Berkahwin muda bukan lagi senario asing bagi kita di Malaysia. Malah seperti sudah menjadi tren masa kini, berkahwin muda adalah satu kebanggaan bagi sesetengah pihak. Saya juga tergolong di kalangan yang berkahwin muda iaitu berkahwin ketika berumur 24 tahun dan belum lagi mendapat skrol ijazah yang sah. Suami pula masih berbaki satu semester.

Kini, dalam usia menjangkau 30 tahun, saya sudah memiliki 3 orang anak. Terpalit jua rasa bangga kerana dalam usia yang masih muda, kehidupan seakan sudah hampir sempurna dengan kehadiran suami dan anak-anak yang begitu membahagiakan.

Namun, adakah benar bahawa berkahwin muda itu banyak pro dari kontranya seperti melalui satu jalan yang tiada berduri dan berliku? Sudah tentu itu adalah tanggapan yang kurang adil bagi mereka yang mendirikan rumahtangga dalam usia yang agak lewat. Bagi saya, waktu bila pun anda berkahwin, muda atau usia yang sudah lewat, cabarannya tetap ada, cuma situasi dan cara yang agak berbeza.

Persiapan Rapi

Bagi mereka yang mengambil keputusan untuk berkahwin dalam usia muda, persiapan rapi samada fizikal mahupun mental hendaklah dibuat seawal mungkin. Berkahwin muda bukanlah satu keputusan main-main, di mana kita boleh berpatah semula jika merasakan yang kita tidak mampu untuk meneruskan bahtera perkahwinan. Sekali melangkah, pastikan anda terus melangkah dan melayarinya dengan penuh tanggungjawab.

Tahun pertama perkahwinan pastinya tahun bulan madu yang sangat indah dilalui oleh setiap pasangan. Namun perlu diketahui bahawa, jika kita berkahwin, kita bukan sahaja berkahwin dengan pasangan kita, malah kita berkahwin dengan kehidupannya. Ini bermakna segala aturan hidupnya, keluarga, kenalan, kerja dan aktiviti yang dilakukan oleh pasangan kita, telah menjadi sebahagian dalam kehidupan kita juga.

Ada pasangan yang tidak dapat menerima cara hidup pasangannya kerana dikatakan tidak serasi. Tidakkah ia dikatakan tidak adil bagi pasangan anda, sedangkan anda sudah mengambil keputusan untuk melayari kehidupan ini bersama-sama? Sudah tentu ini tidak akan terjadi jika persiapan rapi termasuk sesi perkenalan (ta’ruf) dilakukan sebelum perkahwinan berlaku. Kenali pasangan anda melalui kenalan dan keluarganya sebelum anda mengambil sebarang keputusan.

Cabaran Anak

Saya mula menimang cahaya mata ketika usia perkahwinan belum pun setahun. Walaupun saya dan suami amat gembira dengan kehadiran anak sulung kami, Muhammad Amirul Wafi, namun melalui fasa kehidupan sebagai ibu bapa muda bukanlah sesuatu yang mudah. Saya akui, kehidupan kami berubah 360 darjah dengan kehadirannya. Tidur tidak lagi lena, makan pula mesti bergilir.

Saya langsung tiada pengalaman mengendalikan bayi dan mengharapkan bantuan mak sepenuhnya dalam membimbing saya selepas bersalin. Suami juga begitu. Dalam keadaan yang agak tertekan, nasihat orang tua dan orang-orang sekeliling, walaupun sangat berguna, seperti hujung pedang yang menikam. Seolah-olah, apa yang kita lakukan, salah belaka dari pandangan mereka. Sungguh menyeksakan.

Namun, saya dan suami cepat sedar, itulah cabaran ibu bapa muda yang mesti ditempuhi. Jika tiada kekuatan dan kesefahaman di antara pasangan, maka ramailah yang mengambil jalan mudah dan penuh emosi seperti penceraian, penderaan anak, mengasingkan diri dari dunia luar, kemurungan dan sebagainya.

Anak adalah anugerah Allah yang sangat berharga buat pasangan suami isteri. Mereka di jadikan untuk menghubungkan kasih sayang dan menguatkan rasa cinta di antara suami isteri. Generasi anak-anak ini memerlukan kebijaksaan ibu bapa untuk mereka membesar sebagi orang yang berguna dan berjaya.

Cabaran Keluarga

Seperti yang dijelaskan di atas tadi bahawa memasuki alam perkahwinan bermakna kita juga berkahwin dengan kehidupan pasangan anda. Keluarga pasangan kita seperti ibu bapa, adik beradik, ipar duai dan saudara mara pasangan telah menjadi urusan dan kehidupan kita juga. Itu adalah kenyataan yang tidak dapat kita katakan tidak.

Apabila kita berkahwin, masa dan waktu yang kita ada terpaksa dikongsi bersama dengan keluarga pasangan kita. Contohnya, hujung minggu yang anda rasakan ingin dihabiskan bersama pasangan dan anak-anak, terpaksa dibahagi dua. Kita mungkin akan pulang ke kampung sebulan sekali, memenuhi undangan kenduri kendara saudara mara atau terpaksa bercuti bersama keluarga mentua.

Begitu juga dengan kewangan. Gaji yang diperolehi oleh pasangan anda, semestinya bukan untuk anda seorang. Pasangan perlu memberi seratus dua setiap bulan buat keluarganya di kampung. Bagi saya, itu adalah tanggungjawab kita sebagai anak yang wajib dilaksanakan.

Bijak Menguruskan Emosi

Kerenah anak yang pelbagai memerlukan ibu bapa yang bijak dalam mengendalikan anak-anak. Ibu bapa muda harus melengkapi diri dengan ilmu pendidikan anak-anak. Selalulah berbincang sesama pasangan bagi menangani masalah yang dihadapi dalam mendidik. Sikap bertolak ansur dan saling bantu membantu sesama pasangan sangat penting di dalam mengendali dan mendidik anak-anak.

Tidak semua orang bertuah memiliki keluarga mentua yang ideal. Ada yang sering berendam airmata kerana sering makan hati dengan sikap keluarga mentua. Kadang kala, ada yang merasakan mereka tidak bebas untuk menguruskan keluarga mereka sendiri kerana campur tangan orang lain.

Cabaran-cabaran yang dilalui oleh kebanyakan ibu bapa muda perlulah ditangani dengan baik dan bijak. Sikap pemarah, egois, tidak boleh bertolak ansur adalah di antara sikap yang tidak dapat membantu kita dalam mengendalikan rumahtangga dengan baik dan berkesan. Seharusnya kita bersikap positif dan berlapang dada dalam dalam jua keadaan.

Saling Lengkap Mlengkapi

Pasangan suami isteri perlulah saling lengkap melengkapi kerana tiada siapa yang sempurna dan handal setiap masa dalam mengendalikan rumahtangga. Berkahwin dalam usia muda memerlukan kekuatan emosi dan sistem ketahanan yang utuh.

Bermusyawarah atau bermesyuarat dan berbincang sesama pasangan amat penting dalam kehidupan berumahtangga. Suami dan isteri perlulah berkomunikasi jika mahu mengendalikan rumahtangga dengan baik. Hidup ini tidak selalunya indah, namun bukanlah mustahil untuk kita mengecap segala kenikmatan dalam kehidupan dalam berumahtangga.


Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: